Monday, 25 April 2016

Dosa yang terampun

jPintu rumah ditolak perlahan. Suasana sunyi sepi. Dia mengerling jam didinding , jarum menunjukkan ke angka 4.30 pagi. Tiada yang menunggu dia kali ini. Tidak abahnya tidak juga ibunya. Mungkin keduanya sudah letih menunggunya. Menunggu untuk meleterinya.Dia sudah boleh menghafal apa yang akan dilontarkan oleh kedua ibu bapanya.
Azam memetik suis lampu ruang makan. Hajatnya ingin minum air kerana dahaga. Tapi dia terkejut, dalam gelap ibunya duduk memerhatikan dirinya. Dia serba salah.
"Azam tadi ...erkk" Ibunya bingkas bangun meninggalkan dirinya tanpa berkata sepatah apa pun.Langsung tidak mahu mendengar penjelasannya. Azam hanya mengangkat bahu.
Seminggu berlalu. Ibunya langsung tidak bercakap dengan Azam. Cuma ayahnya yang masih sudi berbual dengannya. Tapi dia dapat merasakan nada dingin dalam suara ayahnya. Tiada lagi nada mesra seperti dulu.
Azam merasa aman dalam seminggu dua ni. Tiada leteran dan teguran dari ibu dan abahnya. Dia bebas bagaikan raja untuk melakukan apa saja yang terlintas di hatinya. Azam mula belajar merokok. Duit tiada masalah kerana dia tahu dimana ibunya menyimpan duit. Tapi ibunya sedar yang Azam mencuri duit jadi ibunya sudah tidak menyimpan duit di tempat selalu. Tiada duit bermakna bekalan rokok terputus. Azam resah. Tapi akalnya panjang, dia mencuri duit tabung adiknya Azila. Azila mengadu pada ibu dan abahnya. Azam berdebar menanti apakah hukuman yang akan dikenakan kepadanya. Ibunya memujuk adiknya,kemudian ibunya memimpin tangan adiknya beredar dari situ. Tetapi ibunya langsung tidak menegur Azam dan seolah-olah Azam tidak wujud dalam rumah mereka. Abahnya menepuk bahunya sambil berkata "baliklah ke pangkal jalan".
Azam semakin galak membuat onar. Tambahan lagi bila dia berkawan dengan Kudus remaja bermasalah yang dibuang sekolah. Kudus pula melantik Azam sebagai pembantunya. Makin naik.tocang Azam ini. Dia juga sudah berani ponteng sekolah. Kalau dulu ibunya akan kejutkan dia.Tapi kini ibunya langsung peduli pada dirinya. Ibunya hanya menggosok baju sekolahnya kemudian meninggalkan duit belanja sekolah untuknya. Azam merasa lega kerana walaupun sudah berapa lama ibunya tidak bertegur sapa dengannya tapi ibunya masih ingat untuk memberinya duit belanja sekolah.
Satu hari apabila Azam pulang dari sekolah, abahnya sedang menunggunya di rumah. Azam mendekati abahnya dan abahnya memberinya sepucuk surat. Muka Azam pucat lesi. Dia cam benar surat tu dari pihak sekolahnya.
"Bacalah. Azam mesti happykan sebab dah dapat apa yang Azam nak" kata abahnya tenang sebelum beredar meninggalkannya. Azam membaca isi kandungan surat tersebut. Isi kandungan surat tersebut menceritakan bahawa sudah 15 hari Azam.ponteng sekolah. Dan tindakan tata tertib akan di kenakan kpd Azam. Sepanjang dia bersekolah inilah kali pertama dia di hukum. Dia terbayang air muka kecewa ibunya. Ibunya seorang yang amat menitik beratkan hal persekolahan dia dan adiknya. Azam akui sepanjang dia bersekolah dari darjah 1 hingga ke tingkatan 4 dia tidak pernah ada masalah disiplin di sekolah. Tapi dia tidak tahu mengapa kini dia berubah 360 darjah. Dia mula mengabaikan pelajaran, dia berani melawan cakap ibu dan ayahnya.Dia mula merokok.Dia abaikan keluarganya. Dia ingat lagi kali terakhir ibunya bercakap dengan nya semasa ibunya menegurnya kerana dia pulang lewat ke rumah. Waktu itu dia baru saja mengenali Kudus.
"Pukul berapa Azam balik? Azam sedar tak sepatutnya Azam tidak berkelakuan macam ni"
" Azam dah besarlah tak payah lah nak ingatkan Azam mana yang boleh mana yang tak boleh" Dia meninggikan suara kepada ibunya. Ibunya tersentak, tergamam dengan tindakan Azam.
"Baiklah mulai hari ini ibu tidak akan mengganggu kehidupan Azam lagi. Azam dah besarkan". Itulah kali terakhir ibu nya bercakap dengannya. Sudah sebulan Azam tidak berbual dengan ibunya. Azam rindu dengan leteran ibunya. Azam meraup muka dengan kedua tapak tangannya. Terngiang-ngiang di telinganya kata-kata guru kaunselingnya "mak bapak berleter tandanya sayang tapi kalau mereka dah mendiamkan diri bermakna sebaliknya lah tu"
Azam menggeleng kepalanya. Dia tidak sanggup kehilangan kasih-sayang kedua orang tuanya.  Tiba-tiba bunyi mesej masuk kedalam telefon bimbitnya. Azam membaca mesej tersebut kemudian tersenyum. Dia kemudian beredar dan masuk ke dalam biliknya.
Segalanya berlaku dengan pantas. Sedar-sedar Azam sudah berada di atas katil hospital, dalam wad kecemasan. Doktor dan jururawat masing-masing sibuk. Azam cuba mengingat kembali apa yang terjadi.
Ya dia beredar masuk kedalam biliknya sebaik sahaja membaca mesej yang dihantar oleh Kudus. Kudus mengingatkan nya supaya jangan lupa perlumbaan mereka bermula pada pukul 11 malam. Dia terlibat dengan perlumbaan haram sebenarnya. Usai menukar baju dia melangkah keluar dari biliknya tetapi matanya sempat mengerling frame yang mengandungi kata-kata hikmat yang berbunyi " REDHA IBU BAPA SALAH SATU PINTU MENUJU KE SYURGA".
Allah huakbar, apakah ibu-bapanya akan redha bila mengetahui perbuatannya. Dia berlumba haram kemudian motornya bergesel dengan motorsikal kudus dan mereka jatuh lalu terseret. Sedar-sedar dia berada diatas katil hospital. Dia tidak tahu macam mana dengan nasib Kudus. Dia menggagahkan diri untuk bangun. Tapi gagal. Kaki nya terasa ngilu, perit dan sakit.
Seseorang menghampirinya. Azam tahu itu adalah doktor berdasarkan pakaiannya dan stetoskop yang tergantung dilehernya. Doktor tersebut memberitahu bahawa Kudus meninggal sebaik sahaja tiba dihospital. Kudus cedera teruk di kepalanya. Azam hanya mampu mengalir air mata mengenang nasib Kudus. Doktor itu juga memberitahu yang pihak hospital sudah menghubungi keluarganya untuk segera ke hospital bagi mendapatkan kebenaran. Kebenaran??? Kebenaran untuk apa? Azam tertanya-tanya.
Tidak beberapa lama kemudian Ibu dan Ayah Azam sampai ke hospital. Setelah berbual dengan doktor, Azam nampak ibunya menangis dan dipujuk oleh ayahnya. Air muka ke dua nya keruh sekali. Kemudian mereka menghampiri katil Azam. Azam begitu malu untuk bertentang muka dengan ibu ayahnya. Apa yang terjadi adalah salah dirinya sendiri. Baru sekarang Azam rasa menyesal yang teramat sangat.
Kemudian doktor memberitahu Azam bahawa kaki kanannya terpaksa di potong hingga ke paras peha. Ini adalah kerana betis Azam hancur akibat kemalangan. Dan sebenarnya Azam pengsan hampir 4 jam. Oleh yang demikian kebenaran dari ibu bapa Azam diperlukan. Azam meraung semahunya sebaik sahaja mendengar berita yang disampaikan. Dia akan jadi manusia cacat selepas ini. Azam tidak dapat menerima keadaan ini. Ayahnya cuba menenangkan Azam.
"Redha dengan ketentuannya kerana ini lah akibatnya bila kita memilih jalan yang salah" kata ayahnya.
" Doktor, sbg ibunya saya ampunkan segala salah silapnya kpd saya. Saya halalkan segalanya. Tetapi hati saya sudah lama terluka dengan perbuatannya. Terpulanglah kepada doktor untuk melakukan apa jua rawatan yang doktor rasakan terbaik untuk dirinya" sebaik sahaja selesai bercakap dengan doktor itu, ibu Azam berpaling dan berjalan keluar dari bilik kecemasan tersebut. Doktor itu hanya mengangguk kepala tanda faham. Azam meraung sekali lagi. Bukan meraung sebab sakit tetapi meraung sebab dia tahu walaupun ibunya memaafkannya tetapi hati ibunya masih terluka dengan sikapnya. Ibu nya sudah tidak mahu peduli tentang dirinya. Azam melaung memanggil ibunya. Tapi ibunya langsung tidak berpaling kepadanya. Azam merasa amat menyesal dengan sikapnya selama ini. Dia kehilangan kaki kanannya dan kini dia kehilangan kasih sayang ibunya sendiri. Bak kata pepatah sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi. Hidup di dunia menjadi hina.

No comments:

Blog Widget by LinkWithin
Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers